Tajuk buku : A teacher's Guide to Classroom Research (second edition)
Konsep Kajian Tindakan
Satu tindakan yang diambil oleh guru untuk meningkatkan mutu pengajarannya sendiri ataupun mutu pengajaran guru-guru lain, menguji andaian daripada teori-teori pendidikan atau salah satu cara untuk menilai dan melaksanakan keutamaan sekolah. Dengan melakukan kajian tindakan ke atas mutu pengajaran diri sendiri ataupun rakan sekerja, ini bermakna guru tersebut akan lebih bertanggungjawab terhadap proses pengajaran dan pembelajarannya. Ini akan menghasilkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih dinamik dan bertenaga.
Pengertian kajian tindakan
Terdapat 4 pengertian atau definisi kajian tindakan :
1. Robert Rapoport (1970) mengatakan bahawa kajian tindakan adalah matlamat untuk memberi perhatian terhadap orang yang sedang mengalami masalah dan juga matlamat sains sosial dengan kolaborasi di antara rangka kerja atau prinsip-prinsip yang dipersetujui ramai.
2. Stephen Kemmis (1983) mengatakan bahawa kajian tindakan adalah satu bentuk refleksi kendiri yang diambil oleh penyelidik dalam situasi sosial bertujuan untuk membaiki kerasionalan atau kewajaran dan kebenaran tentang:
- proses dan mutu pengajaran
- pemahaman dan penguasaan pengajaran
- situasi dimana proses pengajaran berlaku
Kajian akan menjadi lebih berkesan jika dilakukan secara kolaboratif walaupun biasanya ia dilakukan secara individu, atau kadang-kadang dilakukan bersama orang luar.
3. Dave Ebbutt (1985) dalam kertas kerjanya mengatakan bahawa kajian tindakan adalah kajian sistematik dalam percubaan untuk meningkatkan mutu pengajaran oleh sekumpulan penyelidik dengan memerhatikan proses pengajaran sendiri dan juga refleksi terhadap kesan yang terhasil daripada proses pengajaran mereka. Dave juga telah mengambil definisi yang dibuat oleh Kemmis yang mengatakan bahawa dengan melakukan kajian tindakan yang mudah, sekumpulan penyelidik boleh mengatur sesuatu keadaan mengikut pengalaman mereka sendiri.
4. John Elliott (1991) memberi definisi kajian tindakan sebagai satu kajian sosial untuk meningkatkan kualiti dan mutu tindakan yang akan diambil terhadap sesutu keadaan. Kesahan sesuatu teori atau hipotesis yang dibuat tidak bergantung kepada kajian secara saintifik, tetapi ianya lebih bergantung kepada keberkesanan kajian tersebut dalam membantu manusia untuk mempunyai pelbagai kemahiran dan dapat bertindak secara bijak.
Mengapa guru perlu melakukan kajian tindakan
1. guru akan lebih bertanggungjawab dan mengawal kerjaya profesional.
2. guru yang melakukan kajian tindakan akan mengembangkan mutu pengajaran dan pembelajaran.
3. guru lebih bebas dan mempunyai kuasa untuk menentukan teknik dan mutu proses pengajaran dan pembelajaran.
4. menggalakkan guru untuk menggunakan pelbagai kaedah-kaedah ataupun strategi pengajaran yang baru.
5. keinginan guru yang tinggi untuk diiktiraf seperti golongan profesional yang lain telah menggalakkan mereka untuk cenderung mencari jalan penyelesaian terhadap masalah sendiri.
Model lingkaran (spiral) Kemmis dan McTaggart (1988)
Contoh :
Lingkaran pertama
Merancang
Pelajar menganggap bahawa sains adalah proses mengingat fakta berbanding perasaan ingin tahu. Bagaimana guru dapat merangsang perasaan ingin tahu dalam diri pelajar?
Bertindak
Memberikan soalan yang dapat menarik minat dan perhatian pelajar.
Memerhati
Rekod soalan dan jawapan untuk pemerhatian yang lebih terperinci. Catat jangkaan.
Merefleksi
Persoalan guru diganggu oleh keperluan guru tersebut untuk mengawal jangkaan pelajar.
Lingkaran kedua
Mengubah rancangan
Mengubah strategi menyoal untuk menggalakkan pelajar untuk mencari jawapan sendiri. Matlamat yang sama masih diteruskan, tetapi mengurangkan bilangan kawalan penyataan.
Bertindak
Mengurangkan penyataan kawalan dalam pelajaran.
Memerhati
Rekod soalan dan jawapan. Catat kesan-kesan yang diperhatikan daripada tingkahlaku pelajar.
Merefleksi
Perasaan ingin tahu pelajar berkembang, tetapi tingkah laku mereka semakin tidak dapat dikawal. Apa yang perlu guru lakukan?
sesuatu kajian tindakan tidak semestinya bermula dengan masalah. Apa yang diperlukan adalah idea untuk untuk meningkatkan mutu dan kualiti sesuatu perkara.
- apa yang berlaku sekarang?
- saya mahu meningkatkan......
- sesetengah orang tidak senang dengan......
- apa yang boleh saya buat untuk mengubah situasi tersebut?
- saya ada cadangan yang boleh saya aplikasikan di dalam kelas.
antara langkah-langkah yang boleh diambil :
- jangan membuat kajian ke atas perkara atau isu yang memang tidak dapat dilakukan. contohnya, adalah mustahil untuk mengubah silibus buku teks yang sedang digunakan dalam semester yang pendek.
- membuat kajian ke atas perkara yang terhad sahaja. ini penting untuk memastikan kejayaan yang memuaskan hasil daripada kajian yang lengkap dalam masa yang singkat. selain itu juga, dengan membuat kajian ke atas perkara yang sedikit, maka guru dapat menjangka dan merancang jangka masa yang diperlukan oleh projek itu.
- pilih topik atau perkara yang penting kepada pelajar dan guru atau perkara yang biasa melibatkan aktiviti sekolah. perkara yang dipilih untuk dikaji hendaklah berunsurkan motivasi dalaman.
- dalam menjalankan kajian ke atas kelas, cuba sebaik mungkin untuk bekerjasama secara kolaboratif. kerjasama secara kolaboratif dapat membentuk pasukan yang kuat dan guru dapat bertukar idea sesama sendiri.
- hubungkaitkan kajian yang dilakukan di dalam kelas dengan perkembangan sekolah atau matlamat sekolah. ini adalah penting agar kajian yang dilakukan memberi manfaat bukan sahaja kepada guru, malah kepada pelajar dan sekolah amnya.
Sampel/Participant
- guru
- pelajar
Seting Kajian
- di dalam kelas
Pengumpulan dan Penganalisisan Data
1. Nota lapangan
Membuat nota lapangan adalah salah satu cara melaporkan pemerhatian, refleksi dan tindak balas kepada masalah dalam bilik darjah. Seelok-eloknya, nota lapangan ditulis sebaik sahaja masa pengajaran habis kerana apa yang berlaku dalam bilik darjah masih segar dalam ingatan guru. Nota lapangan terdiri daripada pelbagai jenis. Ada yang berpusatkan isu, maksudnya pemerhatian adalah fokus kepada isu-isu tertentu seperti mutu pengajaran, tingkahlaku pelajar dan perkara yang sedang berlaku. Nota lapangan
juga digunakan untuk menyediakan bahan-bahan kajian kes pelajar tertentu. Maklumat yang diperolehi haruslah berbentuk deskriptif berbanding spekulatif. Terdapat 4 kegunaan nota lapangan dalam kajian dalam bilik darjah:
- Guru dapat fokus pada isu-isu tertentu sepanjang masa pengajaran.
- Guru dapat mereflek reaksi pelajar dan suasana dalam bilik darjah.
- Guru dapat menyediakan maklumat tentang apa yang sedang berlaku terhadap seseorang pelajar yang boleh digunakan dalam kajian kes.
- Guru boleh merakam perkembangan guru-guru lain.
2. Rakaman Pita Audio
Rakaman pita audio adalah salah satu kaedah untuk mengumpul data yang amat popular di kalangan guru. Ia dapat menjadi alat yang berkesan untuk seseorang guru memulakan kajiannya. Dari segi praktikal, penggunaan perakam pita memerlukan pengetahuan teknikal untuk mengelakkan sebarang gangguan teknikal berlaku semasa proses merakam dijalankan. Oleh itu, guru harus memastikan bahawa dia mahir untuk mengendalikan perakam dan bateri dicas sepenuhnya sebelum alat itu dibawa masuk ke dalam bilik darjah. 3 kegunaan perakam pita adalah:
-Sebagai alat diagnostik untuk mengenalpasti mutu dan aspek pengajaran seseorang guru.
-Menyediakan bukti tentang aspek-aspek tertentu secara terperinci.
-Sebagai sumber tambahan kepada penilaian bilik darjah.
3. Temubual
Temubual dalam kajian bilik darjah boleh berlaku melalui 4 cara:
- Antara guru dengan pelajar.
- Pemerhati dengan pelajar.
- Pelajar dengan pelajar.
- Guru dengan pemerhati.
Temubual secara berkumpulan dengan 3 atau 4 orang pelajar didapati lebih berkesan. Temuduga antara pelajar dengan pelajar boleh menghasilkan sumber data yang kaya, terutama jika pelajar mengikut jadual temubual yang disediakan oleh guru. 2 kegunaan temubual dalam kajian bilik darjah ialah:
- Perbincangan antara guru dengan pelajar dapat menyediakan maklumat.
- Untuk membaiki suasana dalam bilik darjah.
4. Perakam Pita Video
Perakam pita video semakin banyak digunakan oleh guru untuk mengumpul maklumat tentang mutu pengajarannya. Ini dapat meningkatkan mutu pengajaran guru apabila banyak kelemahan dapat dikesan dan guru tersebut akan mengambil tindakan untuk mengatasi kelemahan tersebut. 2 kegunaan perakam pita video ialah:
- Untuk mendapatkan rakaman proses pengajaran dan pembelajaran secara visual.
- Bertindak sebagai alat bantuan diagnosis.
5. Soal selidik
Soal selidik merupakan satu cara yang mudan dan cepat untuk mendapatkan maklumat tentang bilik darjah, kurikulum ataupun keberkesanan kaedah mengajar daripada pelajar. Objektif utama penggunaan kaedah soal selidik adalah untuk mendapatkan tindakbalas kuantitatif ke atas soalan-soalan tertentu.
Teknik Pengumpulan dan Penganalisisan Data
1. Rangka kerja analisis
2. Pengumpulan data
Dalam proses kajian dalam bilik darjah, langkah pertama yang harus dilakukan adalah mengumpul data dengan menggunakan perakam video atau apa sahaja alat yang digunakan untuk mengumpul data tentang mutu pengajaran. Pada akhir peringkat pengumpulan data, bukan sahaja data dapat dikumpul, malah pelbagai hipotesis telah dibina untuk menerangkan tentang apa yang berlaku dalam bilik darjah.
3. Kesahan
Kesahan hipotesis amat penting untuk memastikan kajian yang dilakukan adalah sah. Terdapat pelbagai teknik untuk menguji kesahan sesuatu hipotesis: a. Triangulation b. Saturation c. Rival explanation d. Negative cases e. Call things by their right name f. Audit trail g. Key respondents
4. Penafsiran Proses mengambil hipotesis yang sah dan boleh diterima pakai dan disesuaikan dengan makna.
5. Tindakan Setelah menganalisis data, guru akan merancang tindakan yang seterusnya.
6. Proses analisis data
Etika Kajian Tindakan
1. Protokol dijaga Memastikan orang-orang yang terlibat, masyarakat dan hak-hak dijaga dan dilindungi. Kebenaran perlu diperolehi daripada orang yang akan dijadikan sampel dalam kajian tindakan tersebut.
2. Penglibatan orang yang dikaji Menggalakkan orang yang mempunyai kepentingan untuk meningkatkan pekembangan kajian.
3. Melapor perkembangan kajian.
4. Mendapatkan persetujuan untuk melaporkan hasil kerja
0 comments:
Post a Comment